RAGAM BAHASA :-
Za'ba dalam bukunya 'Ilmu Mengarang Melayu" menyebut dua gaya bahasa yang utama iaitu "gaya cakap mulut" dan "gaya surat". Iaitu menjelaskan bahasa lisan dan tulisan. Selain itu, beliau juga menyebut tentang bahasa-bahasa daerah iaitu percakapan di satu-satu daerah dan bahagian negeri yang mempunyai pelat sebutan khas bagi daerah tersebut. Selain yang disebut Za'ba ini terdapat variasi lain dalam bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa moden, bahasa yang memperkatakan bidang-bidang tertentu. Banyak bidang baru ini yang bersifat khusus sehinggalah wujudnya ragam bahasa khas semata-mata untuk memperkatakannya. Misalnya, bahasa Melayu yang digunakan oleh doktor untuk memperkatakan tentang bidang perubatan. Para jurutera pula memperkatakan hal-hal kejuruteraan. Dalam bidang bahasa variasi seperti ini diberi nama 'laras'. Dalam contoh di atas boleh kita katakan terdapat laras perubatan, laras kejuruteraan, laras ekonomi dan seterusnya.
MORFOLOGI :-
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur bentuk dan penggolongan kata dalam bahasa Melayu. Unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan disebut sebagai Morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis. Perkataan juga ialah bentuk bahasa yang kecil, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri dengan sendiri dalam ayat. Sesuatu perkataan dibentuk daripada satu Morfem atau lebih.
Contoh : -
Perkataan - ajar (1 Morfem)
- mengajar (2 Morfem) = meng........ ajar
- berkakikan (3 Morfem) = ber... kaki.... kan
IMBUHAN :-
Imbuhan bermaksud unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk lain dan menyebabkan perubahan makna nahunya.Terdapat 4 jenis imbuhan:-
1. Imbuhan Awalan - ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar
Contoh - berjalan / terambil
2. Imbuhan Akhiran - ditambah pada belakang kata dasar.
Contoh - lautan / panjangkan
3. Imbuhan Sisipan - diselitkan antara unsur-unsur kata dasar.
Contoh - em... gemuruh (guruh)
el......telunjuk (tunjuk)
4. Imbuhan Apitan - ditambah serentak pada hadapan dan belakang kata dasar.
Contoh - ke... duduk......an... (kedudukan)
KATA TERBITAN :-
Kata Terbitan ialah kata dasar yang menerima imbuhan, baik imbuhan awalan, akhiran, apitan atau pun sisipan.
Contoh - mendukung / makanan / mengakui
KATA MAJMUK :-
Kata Majmuk ialah bentuk kata yang wujud apabila dua kata dasar atau lebih dirangkaikan menjadi satu kesatuan sintaksis yang membawa makna tertentu.
Contoh - air + mata.......air mata / meja + makan.......meja makan
Ada sebahagian kecil Kata Majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh.Walaupun ia wujud daripada dua perkataan tetapi ia tetap dieja dalam satu perkataan:
Contoh :- antarabangsa / bumiputera / setiausaha / suruhanjaya / tanggungjawab / kakitangan / warganegara / matahari
Penggandaan Kata Majmuk:- melibatkan gandaan unsur pertama sahaja.
Contoh :- alat-alat tulis / balai-balai raya / Ketua-Ketua Menteri / Menteri- Menteri Besar
tetapi dikecualikan jika melibatkan bentuk yang telah dimantapkan.
Contoh :- setiausaha-setiausaha / jawatankuasa-jawatankuasa / warganegara-warganegara
Kata Majmuk yang menerima imbuhan awalan atau akhiran hendaklah ditulis terpisah
Contoh : campur aduk ......bercampur aduk
Kata Majmuk yang menerima imbuhan apitan, ejaannya bercantum
Contoh : campur aduk.......mencampuradukkan
No comments:
Post a Comment