Tuesday, 28 May 2013

Pantun Budi

Tegak rumah kerana sendi,
   Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
   Runtuh budi hilanglah bangsa.

Bunga melati bunga di darat,
   Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
   Hina manusia tidak berbudi.

Di sana padi di sini padi,
   Baru bernama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
   Baru sempurna bernama orang.

Awal pertama orang berbangsa,
   Kedua banyak ribu dan laksa;
Ketiga di majlis bermanis muka,
   Keempat banyak berbudi bahasa.

Limau manis dimakan manis,
   Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
   Manis sekali hati budinya.

Monday, 6 May 2013

Hukum D-M

CUBA TELITI AYAT-AYAT BERIKUT:-
1. Ayah membeli goreng pisang di gerai itu.
2. Mereka makan tengah hari di Fatimah Restoran.
3. Amira membeli sebotol cili sos untuk ibunya.
4. Nina memakai mini telekong sewaktu ke sekolah.

Sekilas pandang ayat-ayat di atas tidak ada salahnya. Namun begitu apabila diteliti dari sudut tatabahasa, ayat-ayat tersebut salah dari Hukum D-M.

Hukum D-M, bermaksud Diterang(D) dan Menerang(M).
Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan itu adalah unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua.  Dalam ayat di atas, pisang merupakan unsur inti dan goreng pula unsur menerangkan. Begitu juga dengan “Restoran Fatimah”, Restoran merujuk kepada unsur inti, jadi ia perlu wujud di hadapan dan Fatimah pula adalah unsur menerang yang mana perlu wujud di belakang unsur inti.

Ayat yang betul;
1. Ayah membeli pisang goreng di gerai itu.
2. Mereka makan tengah hari di Restoran Fatimah.
3. Amira membeli sebotol sos cili untuk ibunya.
4. Nina memakai telekong mini sewaktu ke sekolah.

TERUS BERBAHASA.......

Thursday, 2 May 2013

Kerancuan, Penyalahgunaan dan Pencemaran Bahasa

Kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan(inconsistency) dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Kerancuan bahasa menimbulkan pencemaran terhadap bahasa Melayu apabila bentuk kosa kata asing, ejaan, dan hukum sintaksis bahasa asing digunakan pada tulisan awam/rasmi sama ada dalam dokumen rasmi, media cetak, elektronik, papan iklan, dan sebagainya.

Kerancuan dan pencemaran bahasa boleh merosakkan keteraturan, kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu, kerana menjejas sistem dan peraturannya yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disishkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya. Kerancuan dan pencemaran bahasa menjadi amat serius pada akhir tahun 1970-an, yang menyebabkan kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Melayu pada 1980 untuk meneliti dan memperakukan penyelesaiannya kepada kerajaan. Pada 1982, Jawatankuasa itu telah mengeluarkan laporan setebal 154 halaman yang memasukkan 13 halaman contoh kesalahan bahasa dan 70 perakuan kepada kerajaan dan badan yang berkenaan untuk tindakan mengatasi masalah pencemaran bahasa.

Satu gejalan kerancuan bahasa yang selalu ditonjolkan kini ialah:
1) penggunaan bahasa rojak atau campur kod (sureheboh, tempat makan ini best sangat, The team is good tapi terlalu banyak mistake)
2) pinjam kod (infotainmen, ICT)
3) gugur kod (Saya ingat, tapi.....)
4) pindah kod (The Amazing Race Program is very interesting, so TVX boleh cuba mengadakan program yang hampir sama).

Thursday, 11 April 2013

Bahasa Melayu Standard (BMS)

Apabila kita berbahasa secara lisan ataupun bertulis, kita mengemukakan ayat demi ayat. Bahasa yang baik ialah penggunaan ayat-ayat yang betul dari aspek tatabahasa dan jelas serta tepat dari aspek fakta yang dikemukakan. Dalam erti kata lain, setiap ayat selapis atau majmuk yang dikemukakan sebagai jawapan hendaklah tidak menyimpang dari aspek tatabahasa, tidak bersifat kabur dari aspek fakta yang ingin disampaikan. Seseorang pelajar yang lemah menggunakan BMS, tidak menyedari kandungan sesuatu ayat yang ditulisnya itu menyimpang dari aspek idea atau fakta sebagaimana yang harus disampaikan. Gejala kelemahan berbahasa dalam kalangan pelajar adalah sesuatu yang lumrah.

CONTOH AYAT:
1) Telefon bimbit amat penting, boleh memberikan kemudahan dan ada jenama yang mahal.

*  Telefon bimbit amat penting dan boleh memberikan pelbagai kemudahan. Harga sebuah telefon bimbit yang terkenal biasanya lebih mahal.

Dari aspek makna dan fakta, yang mahal bukanlah jenama, tetapi telefon bimbit yang jenamanya sangat terkenal. Jenama bukanlah satu bentuk barangan. Oleh sebab itu, jenama tiada kaitan dengan harga. Struktur ayat : Telefon bimbit/ada jenama yang mahal juga tidak menepati struktur ayat BMS.

Kesalahan Ejaan dan Tatabahasa

Kesalahan ejaan dan tatabahasa boleh dikategorikan kepada kesalahan sekunder(kesalahan kecil) dan kesalahan primer(kesalahan serius).

KESALAHAN EJAAN



Menunjukkan                                   Menunjukan
Pertunjukan                              Pertunjukkan
Masukkan                                    Masukan 
Rujukan                                      Rujukkan
Kemasukan                               Kemasukkan

Kata kerja menerima imbuhan 'kan', selain itu imbuhan 'an'.


KESALAHAN TATABAHASA


Hujahnya adalah berasas.                                                           


Hujahnya ialah berasas.


Meja itu diperbuat daripada kayu jati.



Meja itu diperbuat dari kayu jati.



Pengarah syarikat terlibat dalam perbincangan itu.


Pengarah syarikat terlibat di dalam perbincangan itu.